KUALA LUMPUR, 31 Disember – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan hari ini sebagai hari terakhir jurulatih dari Thailand, Rakphol Sainetngam atau lebih dikenali sebagai Coach Hamee, berkhidmat sebagai ketua jurulatih futsal kebangsaan selepas lebih dua tahun menyandang jawatan itu sejak Ogos 2023.
Dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook FAM, badan induk itu merakamkan penghargaan atas komitmen tinggi Rakphol dalam memperkasakan semula skuad futsal negara, sama ada di dalam mahupun di luar gelanggang.
Sepanjang tempoh kendaliannya, jurulatih berusia 46 tahun itu berjaya membawa skuad futsal Harimau Malaya layak ke Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta selepas melepasi saingan kelayakan di Kuantan, September lalu.
Beliau turut memastikan Malaysia meraih pingat gangsa acara futsal lelaki Sukan SEA 2025 di Thailand, selain membimbing skuad futsal Harimau Malaya B-19 menamatkan saingan di tempat ketiga Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 di Nonthaburi.
FAM memaklumkan, Rakphol terpaksa meninggalkan pasukan kebangsaan bagi kembali ke Thailand selepas menerima tawaran baharu di negara asalnya.
“Terima kasih dan selamat maju jaya, Coach Hamee,” kata FAM dalam kenyataan itu.
