LONDON, 31 Disember – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, percaya pasukannya kini mula menuai hasil daripada pengorbanan dan komitmen tinggi para pemain apabila The Gunners menamatkan tahun 2025 di puncak Liga Perdana Inggeris.
Kemenangan bergaya 4-1 ke atas pencabar kejuaraan Aston Villa di Stadium Emirates pada Selasa menyaksikan Arsenal mendahului liga dengan kelebihan lima mata berbanding juara bertahan, Manchester City yang bakal beraksi menentang Sunderland pada Hari Tahun Baharu.
Arsenal kali terakhir menjuarai Liga Perdana pada 2004, dan ketika ditanya sama ada musim ini mampu menamatkan penantian panjang tersebut, Arteta memuji kepercayaan, tenaga dan mentaliti skuadnya.
“Kami bermain setiap dua setengah hari, jadual sangat padat, perlawanan sukar dan kecederaan turut berlaku. Namun pemain masih menang dan kemenangan membantu mengatasi semua cabaran itu,” kata Arteta.
“Semua pengorbanan dan komitmen akhirnya diterjemahkan kepada keputusan dan persembahan hebat. Ia sangat memuaskan, tetapi masih banyak yang perlu diperjuangkan,” tambahnya.
Arteta turut menegaskan fokus pasukan kekal tinggi menjelang aksi seterusnya menentang Bournemouth pada Sabtu, walaupun sambutan Tahun Baharu diraikan secara sederhana bersama keluarga.
Kemenangan ke atas Villa juga menyaksikan Arsenal menjaringkan empat gol buat kali pertama dalam liga sejak membelasah Tottenham pada derbi London Utara pada 23 November lalu, selepas tiga kemenangan tipis berturut-turut sebelum ini.
Pemain tengah, Martin Zubimendi antara penjaring bersama Gabriel, Leandro Trossard dan Gabriel Jesus, menyifatkan sokongan padu penyokong sebagai faktor penting kebangkitan pasukan pada separuh masa kedua.
“Di separuh masa pertama kami sedikit bergelut dengan serangan balas. Selepas beberapa pelarasan, permainan menjadi lebih terbuka dan kami berjaya menjaringkan empat gol. Sokongan penyokong benar-benar memberi dorongan,” katanya. -AFP
