MUNICH, 23 Ogos - Penyerang Bayern Munich, Harry Kane, menyifatkan dirinya mempunyai “hubungan pantas” dengan Luis Diaz selepas membantu pasukannya membelasah RB Leipzig 6-0 dalam aksi pembukaan Bundesliga di Arena Allianz.
Kane meledak hatrik manakala Diaz, yang baru dibeli daripada Liverpool pada musim panas ini, turut menjaringkan satu gol selain mencipta dua bantuan jaringan untuk kapten England itu.
Seorang lagi bekas pemain Liga Perdana Inggeris, Michael Olise, juga menyumbang dua gol dalam kemenangan bergaya juara bertahan tersebut.
Kane, yang kini mengumpul 65 gol dalam 64 penampilan Bundesliga sejak menyertai Bayern pada 2023, menyifatkan kemenangan itu sebagai satu mesej awal musim.
“Kami mahu membuka musim dengan satu kenyataan dan itulah yang telah kami lakukan. Kami bermain menentang pasukan yang baik tetapi kami menguasai semua aspek permainan dan klinikal apabila perlu, jadi kami boleh menikmatinya,” katanya kepada Sky.
Kane turut memuji persefahaman dengan rakan sepasukan baharu itu serta Olise yang disifatkannya semakin serasi.
“Saya sudah bermain setahun dengan Michael dan hubungan kami semakin kukuh. Separuh masa pertama dia benar-benar cemerlang dengan gol yang dijaringkannya.
“Dan Lucho (Diaz), walaupun baru beberapa minggu bersama, saya rasa seolah-olah kami sudah ada hubungan pantas. Dia memberikan dua bantuan jaringan kepada saya hari ini.
“Ia bagus untuk semua pemain, bagus untuk keyakinan, tetapi seperti kita tahu ia hasil kerja seluruh pasukan dan satu persembahan besar,” kata penyerang berusia 32 tahun itu.-AFP
