fb fb fb fb fb

Undian Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Washington 5 Disember

Presiden FIFA, Gianni Infantino, bercakap mengenai Piala Dunia 2026 bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Oval Office, White House, Washington. Foto- AFP

WASHINGTON, 23 Ogos - Majlis undian rasmi Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Washington pada 5 Disember ini, umum Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Trump berkata acara itu akan diadakan di Kennedy Center, lokasi yang kini dipimpinnya sebagai pengerusi selepas menyatakan tentangan terhadap budaya liberal yang disebut sebagai “woke”.

“Ia adalah acara terbesar, mungkin acara terbesar dalam dunia sukan,” katanya dalam sidang media di Oval Office yang turut dihadiri Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Kejohanan Piala Dunia 2026 akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Trump turut menekankan kepentingan acara itu berlangsung sewaktu penggal keduanya sebagai presiden.

Infantino, yang terkenal dengan hubungan rapat bersama Trump, turut membawa trofi Piala Dunia ke majlis pengumuman itu dan membenarkan Trump memegangnya, meskipun hanya presiden negara, presiden FIFA serta pasukan juara sahaja dibenarkan menyentuh trofi tersebut.

“Hanya presiden FIFA, presiden negara dan mereka yang menang sahaja boleh menyentuhnya kerana ia hanya untuk para juara. Kerana anda seorang pemenang, sudah tentu anda boleh juga menyentuhnya,” kata Infantino.

Trump kemudian secara berseloroh bertanya sama ada beliau boleh menyimpannya.

Walaupun kenyataannya disifatkan sebagai gurauan, laporan turut menyebut trofi FIFA Club World Cup, iaitu kejohanan kelab yang berasingan daripada Piala Dunia, masih berada di Oval Office lebih sebulan selepas dimenangi kelab England, Chelsea, di New Jersey bulan lalu.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN