fb fb fb fb fb

Sukan SEA Pekak 2025: Firdaus rangkul emas perseorangan lelaki boling

Titik peluh dan ketabahan akhirnya membuahkan hasil apabila pemain boling negara, Mohd Firdaus Mohamad menghadiahkan pingat emas dalam acara perseorangan lelaki di Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta

JAKARTA, 22 Ogos – Titik peluh dan ketabahan akhirnya membuahkan hasil apabila pemain boling negara, Mohd Firdaus Mohamad menghadiahkan pingat emas dalam acara perseorangan lelaki di Sukan SEA Pekak 2025 dengan catatan jatuhan pin 1,302.

Kejayaan itu lebih bermakna buat Firdaus kerana ia merupakan emas pertama dalam kategori perseorangan yang berjaya diraih sepanjang penyertaannya di pentas antarabangsa.

“Kalau nak ceritakan kepayahan, memang ada cabaran sebab saya pekak. Kadang-kadang ada masalah komunikasi dengan jurulatih. Tapi saya tetap fokus pada apa yang ditulis dan diajar. Alhamdulillah, hari ini semua usaha itu terbalas,” katanya.

Firdaus, yang mula menceburi sukan boling sejak usia tujuh tahun, dibimbing rapat oleh ibunya, Zaharah Md Dom, bekas pemain boling era 1980-an.

“Mak saya yang mula ajar dari kecil. Sampai sekarang, petua-petua dia saya masih guna. Apa yang mak tekankan tentang teknik latihan banyak bantu saya jadi lebih baik,” jelasnya lagi.

Selain cabaran di gelanggang, Firdaus turut berkorban di luar arena apabila terpaksa memohon pelepasan kerja daripada majikan untuk menyertai kejohanan ini.

Kemenangan bersejarah ini bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di pentas Sukan SEA Pekak 2025, tetapi juga menjadi bukti bahawa semangat juang mampu mengatasi segala kekangan.

Sebelum ini, Firdaus pernah menamatkan acara perseorangan di tempat kelima pada Deflimpik Samsun 2017, sebelum meraih emas acara Trio pada Kejohanan Dunia Boling Orang Pekak Munich 2023.

Dalam acara hari ini, Malaysia turut menambah koleksi apabila Ho Choon Seong meraih perak dengan 1,249 pin, manakala wakil Filipina, George C. Maniozo, meraih gangsa dengan 1,226 pin.

Bagi kategori perseorangan wanita, juara milik pemain Filipina Maria Lovella Catalan dengan 1,127 pin. Dua wakil negara turut menaiki podium iaitu Siong Mui Hong di tempat kedua (1,085 pin) dan Siw Sing Hie di tempat ketiga (1,045 pin).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN