CINCINNATI, 16 Ogos - Alexander Zverev meneruskan rekod cemerlang menentang pemain Amerika Syarikat, Ben Shelton, selepas mencatat kemenangan meyakinkan 6-2, 6-2 pada aksi suku akhir Cincinnati Open, pada Jumaat.
Shelton mempamerkan permulaan meyakinkan dengan mendahului 40-0 pada permainan ketiga set pertama, namun rentetan empat kesilapan memberi peluang kepada Zverev meraih break pertama. Zverev terus menguasai perlawanan apabila memecahkan servis lawan sekali lagi pada permainan kelima sebelum memastikan kemenangan set pembukaan.
Set kedua menyaksikan corak sama apabila servis Shelton dipecahkan pada permainan ketiga dan kelima, sekali gus menamatkan rekod sembilan kemenangan berturut-turutnya dalam tempoh hanya 1 jam 17 minit.
Zverev mencatat 13 kesilapan tidak paksa namun berjaya memenangi 15 daripada 19 mata servis kedua Shelton. Pemain Jerman itu bagaimanapun dilihat bergelut dengan masalah pernafasan pada set kedua sehingga terpaksa memanggil doktor.
“Sekarang ini saya tidak berasa begitu sihat. Saya tidak pasti apa yang berlaku,” kata juara Cincinnati 2021 itu.
"Saya turun gelanggang dan beraksi hari ini dengan keadaan kesihatan paling baik dalam tempoh beberapa bulan ini. Pada set pertama, saya mula berasa kurang selesa dan keadaan kesihatan semakin bertambah teruk tetapi saya sudah berada di separuh akhir dan saya akan melakukan yang termampu untuk berada pada tahap 100 peratus, esok," katanya.
Zverev akan menentang pemain nombor dua dunia, Carlos Alcaraz, pada separuh akhir, esok. - REUTERS