SHAH ALAM, 16 Ogos - Majlis Pelancaran Logo, Maskot, Tema dan Countdown 1 Tahun menuju Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan PARA SUKMA Selangor 2026 berlangsung meriah dengan kehadiran barisan pemimpin utama dan ikon sukan negara.
Majlis Paralimpik Malaysia menerusi Facebook memaklumkan, maskot rasmi “Helang Putih” sekali lagi dipilih menghiasi temasya kali ini yang membawa simbol kekuatan, perpaduan dan keterangkuman, seiring dengan tema “Rentak Kita, Aksi Kita”.
Pelancaran tersebut menandakan detik kiraan rasmi setahun menuju penganjuran temasya sukan terbesar negara ini, yang bakal menghimpunkan atlet terbaik seluruh Malaysia di Selangor pada 2026.
Majlis disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu serta Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Majlis Paralimpik Malaysia diwakili oleh Naib Presiden PCM, Datuk Mah Hassan Omar.
Turut hadir, jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.