SEPANG, 16 Ogos – Selepas terlepas aksi pembukaan Kejuaraan Rali Malaysia 2025 di Jempol, pelumba Dinie Nazmi Abd Rahman tekad menebus kekecewaan dengan sasaran podium pada pusingan kedua yang bakal berlangsung di Sepang, esok.
Dinie, 36, terpaksa menarik diri pada perlumbaan pertama ekoran masalah kesihatan sehingga menerima rawatan di Hospital Kajang. Namun, bersama rakan sepasukan yang juga pemandu arah, Mohd Nazam Shah Sulaiman, beliau kini bersedia sepenuhnya untuk beraksi dengan jentera baharu Proton Satria Neo 1.6 dalam kategori M3.
“Sudah tentu saya teruja memulakan perlumbaan pertama musim ini selepas terpaksa akur menarik diri di Jempol. Walaupun pertama kali menggunakan Proton Satria Neo 1.6, kategori M3 tetap menjadi pilihan untuk cabaran sebenar podium.
“Pesaing semakin kuat setiap tahun, tetapi cabaran utama sebenarnya datang daripada kereta di belakang saya. Sasaran kami adalah menutup musim ini sebagai juara keseluruhan, namun fokus utama kini adalah mengutip mata dalam setiap pusingan,” katanya.
Bagi Mohd Nazam pula, kutipan mata awal sangat penting untuk memberikan rentak terbaik musim ini.
“Litar di Sepang memberi peluang sama rata kepada semua jentera. Pengalaman akan menjadi nilai tambah untuk catatan masa terbaik,” katanya yang mula beraksi sebagai pelumba rali profesional sejak 2014.
Sebanyak 20 jentera bakal bersaing merebut podium dalam enam kategori utama pada perlumbaan hujung minggu ini.
Antara tumpuan pastinya terarah kepada kelibat jaguh rali negara, Karamjit Singh bersama jentera Proton Gen2, selepas menjuarai pusingan pertama di Jempol.
Karamjit kali ini digandingkan dengan Musa Sheriff dari India, pelumba berpengalaman besar di pentas antarabangsa, sekali gus menambah cabaran getir untuk perebutan podium di Sepang.