fb fb fb fb fb

Ulang tahun ke-100 PBPP: Citaglobal sumbang RM20,000

Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang juga Presiden CitaGlobal Berhad, Tan Sri Norza Zakaria (kanan) menyampaikan cek bernilai RM20,000 kepada Presiden Badminton Pulau Pinang (PBA), Datuk Kah Kau Kiak (tengah) pada Mesyuarat Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Sambutan ulang tahun ke-100 Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBPP) bertambah bermakna apabila menerima sumbangan sebanyak RM20,000 daripada CitaGlobal Berhad bagi menyemarakkan usaha melahirkan bakat baharu setanding legenda negara, Datuk Seri Lee Chong Wei.

Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang juga Pengerusi Eksekutif dan Presiden CitaGlobal Berhad, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Pulau Pinang masih mempunyai “urusan belum selesai” dalam memperkukuh ekosistem badminton negara.

“Ini merupakan satu kejayaan besar kerana Pulau Pinang, melalui kepimpinan Datuk Kah, telah banyak melahirkan pemain berjasa kepada negara. Pembangunan di negeri ini begitu rancak, dan setiap kali muncul bakat baharu, kita tidak boleh lupakan legenda seperti Datuk Seri Lee Chong Wei. Malah, ramai lagi pemain daripada lapisan berbeza yang lahir hasil usaha PBPP,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan tersebut di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Sementara itu, Presiden PBPP, Datuk Kah Kau Kiak memaklumkan Lee Chong Wei dilantik sebagai duta ulang tahun ke-100 dan bakal memeriahkan majlis gala sambutan pada 22 November ini.

Ditubuhkan pada 1925, PBPP merupakan persatuan badminton negeri tertua di Malaysia dan terus dikenali sebagai pencetus juara, dengan Chong Wei kekal sebagai ikon kejayaan persatuan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE