fb fb fb fb fb

Zii Jia tidak sertai program RTG, enggan tandatangani persetujuan komitmen

Lee Zii Jia / Foto Bernama

SUBANG JAYA, 14 November - Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak akan berada di bawah program Road to Gold (RTG) untuk membuat persiapan ke Olimpik 2024.

Ini selepas pemain itu membuat keputusan untuk tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) untuk berada di bawah program berkenaan.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas beliau menerima pengesahan daripada Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam, hari ini.

Perkara itu kemudiannya disahkan pihak Sekretariat RTG menerusi satu kenyataan rasmi.

"RTG adalah satu kemudahan yang kita wujudkan untuk membantu memberikan perkhidmatan tambahan untuk atlet yang akan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Kita juga nyatakan RTG adalah platform yang kita hendak hapuskan semua birokrasi sebelum ini. Namun, saya tidak boleh paksa atlet yang tidak mahu terima ataupun mereka ada fasiliti lain yang mereka ada akses. Itu terpulang kepada atlet masing-masing," katanya.

Hannah ditemui selepas merasmikan Persidangan Wanita Dalam Sukan ASEAN 2023, di sini.

Zii Jia yang berada di ranking ke-11 dunia, merupakan satu-satunya atlet daripada 15 atlet yang belum menandatangani perjanjian itu dan diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan komitmen berkenaan.

Dalam pada itu, Hannah memohon Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempertimbangkan untuk menurunkan harga tiket bagi aksi pembukaan Kumpulan D menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

"Yang itu telah saya sampaikan kepada Datuk Hamidin dan saya sedang menuggu maklum balas daripada FAM. Sebaik boleh untuk kita perbanyakan lagi penjualan tiket supaya pasukan Harimau Malays akan mendegar sorakan lebih kuat pada malam itu nanti," katanya.

Setakat ini, hampir 6,000 keping tiket telah dijual.

Hannah turut mengesahkan KBS akan meneruskan tradisi skrin layar gergasi supaya lebih ramai penyokong Harimau Malaya khususnya di luar Lembah Klang dapat menyaksikan perlawanan tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN