KUALA LUMPUR, 14 November - Jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah bersyukur berjaya merangkul Kejuaraan Bina badan dan fizik dunia 2023, di Wonju, Korea Selatan, Sabtu lalu.
Kejayaan itu juga menyaksikan beliau yang berusia 50 tahun meraih gelaran juara dunia keenam dalam kariernya.
Beliau yang mesra dikenali sebagai Mike Mahen, menyifatkan kejayaan itu sebagai penutup 2023 yang sempurna buatnya, selepas kali terakhir dinobat gelaran Juara Asia keenam di Nepal, September lalu.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dan tidak menyangka dapat meraih gelaran dunia kali keenam.
"Selepas menang Asia, saya masih berfikir sama ada untuk menyertai kejohanan Dunia, namun PBBM beri semangat agar sertai kejohanan dan persiapan dan latihan berjalan lancar", katanya di sini.
Sebelum ini, Mike berjaya menjulang kejohanan dunia pada edisi 2016,2017.2018,2019 dan 2022.
Sementara itu, Mike memberi bayangan akan mengumumkan persaraannya dari sebarang kejohanan.
Namun, Mike berkata keputusan berkenaan bergantung kepada perbincangan bersama Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), sebelum memutuskan perkara berkenaan.
"Saya sedang berfikir untuk bersara. Kita lihat bagaimana nanti. Saya perlu berbinang dengan persatuan tentang perkara ini", kata Mike.
Musim 2023 menyaksikan tahun yang cemerlang buat Mike selain turut meraih pengiktirafan antaranya dikurniakan Pingat Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk.
Mike turut dinobat Atlet Terbaik Anugerah SAM 2022.