fb fb fb fb fb

Penalti saat akhir bawa Iraq lakar kemenangan agregat 3-2 ke atas UAE

Iraq benam UAE 2-1, di Stadium Antarabangsa Basra mara ke playoff Piala Dunia/ REUTERS

BASRA, 19 November - Iraq mengekalkan impian ke Piala Dunia selepas meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila pasukan itu diberikan sepakan penalti pada minit ke-107, sekali gus memastikan kemenangan agregat 3-2 dalam aksi playoff di Stadium Antarabangsa Basra.

Amir Al-Ammari tenang menyempurnakan sepakan untuk membawa pasukan bimbingan Graham Arnold mara ke playoff antara benua yang dijadual berlangsung Mac depan, di hadapan stadium yang penuh sesak.

Gol kemenangan itu hadir selepas pemain gantian, Mohanad Ali, menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-66, menafikan kelebihan jaringan awal Caio Lucas pada minit ke-52.

Iraq, memburu kelayakan ke Piala Dunia buat julung kali sejak penampilan sulung mereka pada 1986, kini akan menyertai lima lagi pasukan dalam saingan playoff yang menawarkan dua slot ke pusingan akhir.

Perlawanan yang awalnya kurang peluang berubah tempo pada minit ke-52 apabila Yahia Nader merembat dari tengah padang sebelum melorongkan bola kepada Caio Lucas. Penyerang kelahiran Brazil itu menyempurnakan peluang dengan satu sentuhan sebelum menewaskan penjaga gol Iraq, Jalal Hassan.

UAE hampir menggandakan kedudukan dua minit kemudian, namun voli Nicolas Gimenez sekadar menggegar palang, ketika Hassan yang membuat penampilan ke-100 bersama Iraq sudah tertewas.

Iraq dilihat tenggelam sebahagian besar permainan, namun sepakan percuma memberi ruang kepada skuad Arnold kembali bangkit.

Al-Ammari membuat hantaran bola dari sebelah kiri sebelum tandukan Ali terkena Nader yang menyebabkan penjaga gol Khalid Eisa tidak mampu menyelamatkan bola yang merentasi garisan.

Ali sekali lagi menjadi watak penting apabila tandukannya terkena tangan Nader, memaksa pengadil Yusuke Araki memberikan penalti selepas meneliti rakaman VAR.

Al-Ammari menyempurnakan sepakan penalti itu dengan tenang, meledak bola ke bahagian atas gawang ketika Eisa tersalah arah, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI