GLASGOW, 19 November - Pemain dan penyokong Scotland bersorak kegembiraan selepas pasukan itu mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998, menerusi kemenangan 4-2 ke atas Denmark di Stadium Hampden Park.
Aksi mendebarkan itu menyaksikan dua gol pada masa kecederaan dilakukan Kieran Tierney dan Kenny McLean memastikan kemenangan penuh buat tuan rumah.
Terdahulu, Denmark beraksi dengan 10 pemain bangkit menyamakan kedudukan buat kali kedua menerusi Patrick Dorgu pada minit ke-81, sekali gus memberi gambaran bahawa pelawat bakal mengutip satu mata yang diperlukan untuk muncul juara Kumpulan C dan menempah slot automatik ke kejohanan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico tahun depan.
Namun, Tierney menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak rembatan kencang menewaskan Kasper Schmeichel pada minit ketiga masa kecederaan.
Ketika Schmeichel turut naik membantu serangan di hujung padang, McLean memanfaatkan ruang terbuka untuk melakukan percubaan jarak jauh ke gawang kosong, sekali gus mencetuskan suasana gemuruh di seluruh stadium.
Sebelum itu, Scott McTominay membuka tirai jaringan seawal minit ketiga namun Rasmus Hojlund menyamakan kedudukan buat Denmark dengan sepakan penalti pada minit ke-57, beberapa minit sebelum Rasmus Kristensen dilayangkan kad merah. Lawrence Shankland kembali meletakkan Scotland di depan selepas itu.
Kemenangan tersebut mengesahkan tempat Scotland di pentas dunia selepas penantian selama 26 tahun.- REUTERS