SEPANG, 13 November - Prestasi mengecewakan pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman pada perlumbaan MOTOGP Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kian menutup peluangnya meneruskan tunggangan musim depan.
Pihak pengurusan SIC enggan membuat pelaburan kepada Syarifuddin yang mesra dikenali sebagai Damok, musim depan.
Perkara itu dimaklumkan mentornya, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, berikutan persembahan hambar Damok pada musim pertamanya, tahun ini.
Menurutnya, jika ia berterusan, beliau perlu mencari dana sendiri bagi membantu Damok terus berlumba.
Keputusan semalam yang kurang memuaskan juga menyukar lagi pihaknya untuk berunding dengan pasukan lain.
Semalam, Damok menamatkan saingan di tempat ke-20 yang juga tercorot dengan catatan 34 minit 25.180 saat, selain terlibat dalam kemalangan pada tiga pusingan terakhir sekali gus gagal menceriakan penyokong di laman sendiri.
Mengulas sama ada Damok akan kembali beraksi di Kejuaraan Dunia JuniorGP tahun depan... pengurus pasukan ZK Racing itu berkata agak sukar untuk pelumba berusia 22 tahun itu berbuat demikian.