KUALA LUMPUR, 19 November - Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski meluahkan rasa bangga terhadap semangat juang dan disiplin tinggi dipamerkan Harimau Malaya selepas menamatkan aksi terakhir tahun 2025 dengan kemenangan bergaya serta rekod tanpa kalah.
Cklamovski berkata meskipun berdepan tentangan sengit dalam 90 minit permainan, pemain kekal tenang, sabar dan berpegang pada intensiti permainan yang dirancang.
“Apabila permainan dalam separuh masa pertama terus berlangsung, jelas kelihatan beberapa aspek yang sudah kami jangka. Itulah juga mesej saya pada waktu rehat iaitu kekal sabar, jangan panik, kekalkan tempo dan intensiti.
Sudah tentu kami mahu menjaringkan lebih banyak gol, dan kami juga mempunyai beberapa detik yang baik untuk melakukannya. Tetapi yang paling penting adalah mentaliti pasukan, prestasi pasukan. Kami menamatkan tahun 2025 tanpa kalah, di tangga teratas.” katanya.
Menurut beliau babak pertama memperlihatkan tanda-tanda awal Malaysia boleh menguasai permainan, namun beliau mengingatkan pemain supaya tidak panik dan terus mengekalkan tempo serta tekanan berterusan.
Beliau turut menegaskan pasukannya mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan, namun lebih penting untuk skuad itu peka mentaliti pasukan dan kerja berpasukan bagi membuktikan kekuatan struktur permainan Malaysia.