KUALA LUMPUR, 19 November - Skuad bola sepak negara menewaskan Nepal 1-0 pada perlawanan kelima aksi Kumpulan F kempen Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam ini.
Kemenangan ke atas Nepal menyaksikan pasukan negara mengekalkan rekod tanpa kalah selepas lima perlawanan untuk mendahului Kumpulan F dengan mengumpul 15 mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (sembilan mata), Laos ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.
Skuad Harimau Malaya bermula garang dengan beberapa percubaan awal yang memaksa barisan pertahanan Nepal bekerja keras mempertahankan gawang daripada dibolosi.
Malaysia hampir di depan pada minit ke-37 menerusi tandukan Dion Cools hasil hantaran Mohamad Faisal Abdul Halim, namun berjaya ditepis penjaga gol Nepal Kiran Kumar Limbu sebelum kedudukan 0-0 kekal sehingga menuju bilik persalinan.
Gol pembukaan yang ditunggu-tunggu akhirnya hadir pada babak kedua hasil lorongan tepat Muhammad Safawi Rasid daripada kawasan tengah yang berjaya disudahkan Mohamad Faisal pada minit ke-55.
Nepal, meskipun cuba melancarkan serangan balas, gagal menembusi benteng pertahanan Malaysia yang teguh sepanjang perlawanan.
Malaysia terus menguasai permainan dengan memberikan tekanan tinggi, sebelum meraih peluang untuk menggandakan kedudukan, namun Paulo Jouse gagal menyempurnakan jaringan penalti pada minit ke-90 sebelum keputusan kekal sehingga wisel penamat.
Pertembungan malam ini juga menandakan aksi terakhir Harimau Malaya untuk tahun ini sebelum mereka menutup tirai saingan peringkat kumpulan dengan menentang Vietnam di Hanoi pada 31 Mac tahun depan. -BERNAMA