fb fb fb fb fb

Raih emas pertama Malaysia di Universiade, Tammy terima insentif KPT

PUTRAJAYA, 14 November - Atlet wushu, Tammy Tan Hui Ling hari ini menerima insentif tertinggi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berjumlah RM15,000 selepas menamatkan penantian 38 tahun negara untuk meraih pingat emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China, Julai lepas.

Timbalan menteri berkenaan, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata pencapaian itu membuktikan segala perancangan dan pembangunan sukan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) menunjukkan impak yang berkesan.

Beliau berkata, Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) yang seiring dengan Dasar Sukan Negara (DSN) untuk menjadikan IPT sebagai pemangkin kecemerlangan sukan serta mewujudkan budaya bersukan di IPT berjaya mencapai objektif menerusi pencapaian atlet universiti di peringkat antarabangsa.

"Universiade kali ini menjadi sejarah baharu kepada penanda aras prestasi atlet IPT di pentas tertinggi dunia apabila kontinjen negara memenangi pingat emas pertama di temasya ini setelah menanti selama 38 tahun sejak temasya pertama di Kobe, Jepun pada 1985.

"Saya amat berbangga kerana kejayaan pingat emas pertama ini seumpama kita telah berjaya memenangi pingat emas pertama di Olimpik kerana Universiade merupakan sukan Olimpik kepada atlet yang berada di IPT," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian insentif sukan IPT, di sini, hari ini.

KPT memperuntukkan insentif RM35,500 kepada atlet IPT yang berjaya membutirkan pingat pada temasya Universiade di China yang menyaksikan Malaysia membawa pulang satu pingat emas, satu perak (sukan terjun) dan lima gangsa (tiga dari sukan wushu dan dua daripada badminton).

Atlet IPT yang meraih pingat emas menerima insentif RM15,000, pingat perak RM5,000 dan gangsa RM1,500 (kecuali berpasukan badminton campuran menerima RM5,000).

Manakala atlet 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman menerima RM3,000 setelah memecahkan rekod kebangsaan miliknya sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam di China dan perenang negara, Bryan Leong pula menerima RM1,500 selepas memecahkan rekod kebangsaan berusia 14 tahun dalam acara 50m kuak kupu-kupu.

Dalam pada itu, Mohammad Yusof memaklumkan atlet IPT negara akan berhadapan dengan satu lagi misi besar tahun depan apabila dijadualkan bersaing di Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 pada 25 Jun hingga 6 Julai di Surabaya dan Malang, Indonesia.

Beliau berkata kejayaan atlet IPT negara yang muncul sebagai naib juara keseluruhan pada edisi lalu di Ubon Ratchathani, Thailand dengan meraih 49 pingat emas, 83 perak dan 50 gangsa mampu diteruskan pada tahun depan.

Mohammad Yusof turut melancarkan program "Road To Surabaya" untuk kejayaan cemerlang di temasya tersebut. – BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN