KINGSTON, 19 November - Curacao muncul sebagai negara terkecil yang mengesahkan kemaraan sulung ke Piala Dunia FIFA selepas keputusan seri tanpa jaringan menentang Jamaica di sini pada Selasa (18 November).
Keputusan itu memastikan mereka kekal satu mata di depan tuan rumah sekali gus mengungguli Kumpulan B, meskipun beraksi tanpa ketua jurulatih veteran dari Belanda, Dick Advocaat, yang pulang ke Eropah hujung minggu lalu atas urusan keluarga.
Negara kepulauan Caribbean itu kini menjadi negara paling kecil dari segi jumlah penduduk sekitar 156,000 orang, berjaya mara ke Piala Dunia. Ia memecahkan rekod sebelumnya yang dipegang Iceland dengan 350,000 penduduk.
Curacao turut berdepan detik cemas di Kingston apabila Jamaica dianugerahkan sepakan penalti pada minit akhir masa kecederaan. Namun, keputusan itu dibatalkan selepas pengadil merujuk VAR.
Jamaica dibimbing bekas pengurus England, Steve McClaren, memerlukan kemenangan untuk melayakkan pasukan itu tetapi gagal memanfaatkan peluang selepas tiga kali percubaan mereka terkena palang pada separuh masa kedua.
Skuad Curacao yang dibarisi sepenuhnya pemain kelahiran Belanda berketurunan Antilles berjaya bertahan sehingga tamat permainan.
Keputusan itu turut menyaksikan Curacao, Haiti dan Panama muncul juara kumpulan masing-masing, sekali gus melayakkan diri daripada rantau Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF) ke pusingan akhir 48 pasukan di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Haiti menewaskan Nicaragua 2–0 di Curacao untuk menjuarai Kumpulan C. Panama pula mengesahkan kejuaraan Kumpulan A selepas menang 3–0 ke atas El Salvador di laman sendiri.- REUTERS