fb fb fb fb fb

KBS cadang jual tiket harga Rahmah untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026

Bermula Khamis ini, skuad Harimau Malaya akan berjuang merebut 18 slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia/FOTO FAM

PETALING JAYA, 14 November - 'Sebaiknya tiket boleh dijual 'harga Rahmah', kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk menarik lebih ramai penonton menyaksikan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Khamis ini.

Katanya, beliau telah mencadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menurunkan harga tiket bagi aksi pembukaan Kumpulan D menentang Kyrgyzstan.

“FAM sudah buat keputusan untuk guna Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi hal ini bukan saja mengenai rumput tetapi persekitarannya kerana Harimau Malaya akan terima sokongan padu.

"Itu sebabnya sekarang apa yang diperlukan adalah penyokong beli tiket untuk bersama pasukan.

"Saya juga melihat komen yang meminta tiket Rahmah supaya lebih ramai beli dan saya pun sudah sampaikan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. Sekarang saya sedang menunggu maklum balas daripada FAM.

“Sebaiknya boleh (harga Rahmah) untuk kita perbanyakan lagi jualan tiket supaya Harimau Malaya dapat dengar sokongan padu,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Wanita Dalam Sukan ASEAN 2023 di Subang Jaya, hari ini.

Setakat ini, jualan tiket untuk aksi Khamis ini terjual sebanyak 6,000 sahaja.

Harga tiket yang telah ditetapkan FAM sebanyak RM60 bagi kategori Tempat Duduk Utama (Grandstand), RM80 (Premium), RM40 (Terbuka) dan RM5 untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

Rentetan itu, Hannah berpendapat dengan pengurangan harga tiket menerusi promosi tiket Rahmah mampu mengatasi masalah itu sebelum menjelang aksi perlawanan berlangsung dua hari lagi.

Beliau turut mengesahkan KBS akan meneruskan tradisi skrin layar gergasi supaya lebih ramai penyokong Harimau Malaya khususnya di luar Lembah Klang dapat menyaksikan perlawanan tersebut.

GRACE AISYAH KEDAYAN