KUALA LUMPUR, 15 November - Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin optimis Harimau Malaya mampu mengatasi Kyrgyzstan dan Taiwan dalam saingan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Jelas Hamidin, keyakinannya adalah berasas, selepas melihat prestasi skuad negara sejak kebelakangan ini.
"Sebagai presiden saya yakin. Tapi keyakinan saya bukan dibuat-buat. Keyakinan saya berdasarkan kerja keras semua pihak.
"Kita telah usaha, kita yakin skuad Harimau Malaya mampu tewaskan Kyrgyzstan dan Taiwan. Manakala Oman peluangnya adalah 50-50", kata Hamidin yang ditemui di sini.
Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan D pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan yang menduduki ranking ke-97 dunia Khamis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Mereka kemudian beraksi di tempat lawan menentang Taiwan di ranking ke-152 pada 21 November.
Selepas dua perlawanan bulan ini, Malaysia dijadual bertemu pasukan ke-72 dunia Oman di tempat lawan pada 21 Mac dan diikuti perlawanan timbal balik selepas itu.