fb fb fb fb fb

Kecederaan buku lali, lutut halang Jordie Barrett teruskan aksi

Foto AFP

WELLINGTON, 5 November – Pemain tengah pasukan New Zealand All Blacks, Jordie Barrett, terpaksa diketepikan dalam baki perlawan jelajah hemisfera utara selepas disahkan mengalami kecederaan.

Menurut kenyataan All Blacks, Barrett disahkan mengalami kecederaan buku lali tahap tinggi serta kecederaan kecil pada lutut ketika menentang Ireland hujung minggu lalu.

Barrett, 27,akan pulang ke New Zealand hari ini bagi memulakan proses pemulihan bersama pasukan perubatan Hurricanes, kelab Super Rugby yang berpangkalan di Wellington.

Ketua jurulatih Scott Robertson memaklumkan bahawa Barrett telah menjalani rawatan sepanjang penerbangan dari Chicago ke Scotland, namun hasil imbasan mengesahkan kecederaan itu memerlukan tempoh rehat yang panjang.

Dalam masa sama, kapten pasukan Scott Barrett turut diketepikan daripada perlawanan menentang Scotland di Murrayfield hujung minggu ini selepas menerima 12 jahitan di kaki akibat luka ketika menentang Ireland.

Bagi mengisi kekosongan itu, Josh Beehre dari Auckland Blues telah dipanggil menyertai skuad.

New Zealand kini berusaha mengekalkan rekod cemerlang tanpa tewas kepada Scotland dalam 32 pertemuan sepanjang 120 tahun, dengan rekod 30 kemenangan dan dua keputusan seri, masing-masing pada 1964 (0-0) dan 1983 (25-25) di Murrayfield.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN