fb fb fb fb fb

Pasukan memanah tradisional negara cemerlang di Ulsan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 November - Pasukan memanah tradisional negara pulang ke tanah air dengan penuh kebanggaan selepas mencatatkan kejayaan cemerlang di Piala Dunia Memanah Tradisional Ulsan Korea 2025.

Malaysia membawa pulang dua pingat perak dan satu gangsa, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Atlet negara, Mohd Shah Idzuwan Ahmad Sabri muncul Naib Juara Individu kategori Tarsca Shield (90 meter), serta dinobatkan sebagai Tempat Ketiga Terbaik Keseluruhan Individu Dunia.

Kejayaan ini membuktikan kemampuan beliau mengimbangi teknik, fokus dan konsistensi dalam kategori jarak jauh antara yang paling mencabar dalam kejohanan tersebut.

“Perasaan semasa di sana, memang gemuruh dan rasa bangga dapat membawa nama Malaysia ke seluruh dunia. Orang nampak Malaysia boleh buat yang terbaik, bersaing dengan negara-negara lain. Cabaran di sana lebih daripada angin, cuaca. Sebab sini panas, sana sejuk. Jadi keadaan sana, kita tak jangka lah kita boleh sesuaikan keadaan situ. Alhamdulillah.” kata Mohd Shah Idzuwan.

Sementara itu, pasukan Malaysia turut mencatat pencapaian bermakna dalam acara Berkumpulan Kategori Zhamby (30 meter) apabila berjaya membawa pulang pingat perak.

Pasukan ini dianggotai oleh Mohamad Fadhil Abdullah, Mohd Rizmi Hanafiah, Mohd Jazlime Ghazali, Mohamad Azam Nazarudin dan Mohamad Edruze Sulaiman.

Prestasi cemerlang mereka dipacu oleh keupayaan menyesuaikan teknik panahan dengan cuaca sejuk serta tiupan angin kuat di Ulsan, selain kerjasama dan keyakinan antara ahli pasukan.

“Selepas ini Insya-Allah, mungkin kami dengan 'team manager', mungkin dengan rakan-rakan semua, kita akan berkumpul, kita akan 'check balance' balik. Apa pun kita perbaiki balik. Apa pun kita pertingkatkan, kesediaan untuk menghadapi kejohanan dunia yang besar seperti di Korea ini," jelas Mohd Rizmi.

Kejayaan ini menjadi pemangkin kepada usaha mengangkat martabat sukan memanah tradisional negara ke peringkat yang lebih tinggi selain memberi inspirasi kepada generasi pelapis untuk terus memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas dunia.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN