KUALA LUMPUR, 5 November - Ketua jurulatih futsal Harimau Malaya, Rakphol Sainetngam optimis bahawa undian kali ini yang menempatkan skuad futsal kebangsaan bersama pasukan gergasi Asia pada saingan Piala Asia Futsal 2026 bukanlah satu halangan.
Sebaliknya ia merupakan peluang berharga buat anak buahnya untuk meraih pengalaman berharga dan meningkatkan permainan mereka di peringkat antarabangsa.
"Kita diundi dalam kumpulan yang sangat kuat, semua pasukan berada dalam kelompok terbaik Asia dan secara realistik, mereka lebih kuat daripada Malaysia ketika ini. Tapi bagi saya, situasi ini positif kerana ia membolehkan kita bersaing dan belajar secara langsung daripada pasukan terbaik," katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, Malaysia tidak sekadar hadir untuk melengkapkan jadual namun peluang berdepan pasukan ranking tinggi akan menjadi pengukur sebenar tahap kebolehan skuad negara,
"Walaupun cabaran ini sangat sukar, kami juga mahu mencatat keputusan baik. Saya berharap kita mampu mencipta kejutan, sama seperti ketika pusingan kelayakan dahulu apabila tiada siapa menyangka kita boleh ke peringkat akhir," jelasnya.
Tegas beliau, semangat dan disiplin tinggi pemain akan menjadi kunci dalam setiap perlawanan.
Terdahulu, skuad futsal Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan D bersama Iran, Afghanistan dan Arab Saudi.
Piala Asia Futsal 2026 dijadualkan berlangsung pada 27 Januari hingga 7 Februari 2026 di Jakarta, Indonesia.