KUALA LUMPUR, 5 November - Pemain beregu lelaki negara, Tee Kai Wun sanggup untuk tidak menghiraukan kecederaan betis kaki kirinya, demi memburu slot ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2025 di Hangzhou, China, dijadual berlangsung 17-21 Disember.
Kai Wun berkata beliau dan pasangan Man Wei Chong ketika ini sedang menumpukan untuk melayakkan diri buat kali pertama pada saingan penutup tirai musim 2025, dengan cuba mengutip mata sebanyak mungkin pada Masters Kumamoto Jepun 2025 bermula 11-16 November ini.
“Kita masih belum layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF dan disebabkan perlu beraksi di Kumamoto Masters Jepun. Masih ada mata yang perlu dikejar dan kita harus berlawan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.
Pemain berusia 25 tahun itu juga mengakui kecederaan tersebut sedikit sebanyak mengganggu emosinya, namun beliau sedaya upaya cuba untuk melawan kesakitan dialaminya demi mengejar impian beraksi di pentas Jelajah Dunia Akhir BWF 2025.
Kai Wun berkata kecederaan tersebut dikesan sebelum Terbuka Finland 2025 sehingga memaksanya dan pasangan melupakan saingan tersebut, namun kembali beraksi pada Terbuka Perancis 2025, bulan lepas.
Bagaimanapun, mereka mempamerkan prestasi baik dengan melayakkan diri ke suku akhir Terbuka Perancis 2025 dan separuh akhir Terbuka Hylo 2025 di Jerman, baru-baru ini.
Pasangan kelima dunia ketika ini berada di kedudukan ketiga ranking Jelajah Dunia BWF dengan mengumpul 84,350 mata.
Dua lagi pasangan Malaysia yang berada dalam kedudukan lapan teratas ranking Jelajah Dunia BWF kali ini ialah juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik di tempat kedua (95,320 mata) dan gandingan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menghuni kedudukan ketujuh (72,770 mata).
Mengikut format Jelajah Dunia Akhir BWF, hanya lapan pemain perseorangan dan beregu terbaik dalam ranking kelayakan layak beraksi pada kejohanan berkenaan, dengan maksimum dua wakil dari satu negara bagi setiap kategori. -BERNAMA