fb fb fb fb fb

Sultan Pahang berangkat sertai "Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports"

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menyertai “Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports” di Stadium Merdeka, hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 NOVEMBER - Acara "Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports" bukan sekadar aktiviti biasa, sebaliknya turut bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan legenda sukan negara.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa objektif utama penganjuran acara ini adalah untuk meraikan warisan sukan negara dengan mengiktiraf jasa para atlet yang telah membentuk sejarah sukan Malaysia.

Baginda turut menegaskan bahawa program ini berperanan menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berjalan kaki yang bersifat inklusif dan mudah disertai oleh semua lapisan masyarakat.

"Sebenarnya, idea ini memang asal daripada saya. Setelah saya sering berkunjung ke masjid di sebelah ini, iaitu Masjid Sultan Abdullah, saya terlihat bangunan tinggi bersebelahan stadium ikonik ini, Stadium Merdeka. Dari situlah tercetusnya idea untuk berjalan di kawasan ini sekali. Lagipun, mengapa hendak berjalan seorang diri? Lebih baik kita jemput para legenda dan ahli sukan, khususnya atlet-atlet terdahulu.

"Jadi, sudah tentu ia dapat memberikan sedikit sebanyak semangat yang boleh kita kongsikan bersama untuk bercerita tentang kenangan dan ingatan terhadap stadium ini. Sudah tentu juga, ramai dalam kalangan yang hadir hari ini boleh berkongsi pengalaman dan cerita masing-masing," titah baginda selepas acara "Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports" di Stadium Merdeka, di sini hari ini.

Keberangkatan baginda ke acara berkenaan diiringi oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut menyertai bersama 150 tetamu jemputan, termasuk beberapa legenda sukan tanah air.

Antara yang hadir pada acara berkenaan ialah Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Ann (bola sepak), Datuk Rashid Sidek dan Datuk James Selvaraj (badminton), Nor Saiful Zaini Nasiruddin (hoki), G. Shanti (olahraga) serta Datuk Leong Mun Yee (terjun).

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen, baginda bertitah agar semua pihak memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan.

"Biar yang benar itu muncul daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab. Namun, sudah tentu perkara ini menjadi satu peringatan untuk masa akan datang. Kita semua harus membetulkan keadaan demi cinta kita terhadap sukan bola sepak, dan perlu bangkit daripada kegelisahan serta masalah yang sedang melanda bola sepak negara," titah baginda.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN