fb fb fb fb fb

Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025: Emma Firyana mara ke final singles wanita

Atlet boling padang negara, Emma Firyana Saroji ketika beraksi bagi acara singles wanita semasa menentang Australia pada peringkat separuh akhir Piala Dunia Boling Padang 2025 di Kompleks Lawn Bowls, hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 November - Pemain boling padang negara, Emma Firyana Saroji, melangkah ke pentas akhir acara singles wanita Piala Dunia Boling Padang 2025 selepas menewaskan wakil Australia, Dawn Hayman, dalam aksi penuh dramatik di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Atlet berusia 39 tahun itu bermula perlahan apabila tewas pada set pertama, namun bangkit menunjukkan ketenangan dan ketajaman taktikal untuk memenangi set kedua, sekali gus mengheret perlawanan ke pusingan penentuan.

Keberanian dan ketenangan menjadi kunci kejayaan apabila Emma akhirnya menamatkan perlawanan dengan kemenangan 2-1 untuk menempah tiket ke final.

“Kalau ikutkan prestasi saya turun naik sebab masih mencari momentum yang terbaik untuk kejohanan ini. Alhamdulillah segala perancangan yang dijalankan hari ini menjadi dan akhirnya berjaya ke final,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Emma akan berdepan pemain England, Katherine Rednall di pentas akhir pada Sabtu ini selepas menumpaskan seorang lagi pemain negara, Nurul Alyani Jamil dipentas separuh akhir.

Sementara itu, Nurul Alyani Jamil, terpaksa akur di peringkat separuh akhir selepas tewas 0-2 kepada pemain England, Katherine Rednall, dan berpuas hati membawa pulang pingat gangsa.

Bagi kategori pairs lelaki, cabaran Malaysia berakhir di peringkat kumpulan apabila pasangan Izzat Shameer Dzulkeple–Soufi Rusli menamatkan saingan di kedudukan keempat.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN