MADRID, 5 November β Pertahanan Atletico Madrid, Robin Le Normand, disahkan mengalami kecederaan lutut tahap tinggi, menurut kenyataan kelab La Liga itu pada Rabu.
Pemain antarabangsa Sepanyol itu mengalami kecederaan ketika membantu pasukannya menang 3-1 ke atas Union Saint-Gilloise dalam aksi Liga Juara-Juara pada Selasa.
Atletico tidak menyatakan tempoh pemulihan Le Normand, namun media Sepanyol melaporkan bahawa beliau dijangka tidak dapat beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 bersama pasukan kebangsaan.
Sepanyol dijadual menentang Georgia pada 15 November dan Turki pada 18 November dalam usaha mengesahkan tempat ke kejohanan tersebut.
βLe Normand mengalami kecederaan tahap tinggi pada kapsul posterior lutut kirinya,β menurut kenyataan rasmi kelab itu, sambil menambah bahawa kecederaan tersebut tidak melibatkan meniskus atau ligamen lutut.
Pemain pertahanan itu juga tidak akan diturunkan menentang Levante dalam saingan La Liga pada Sabtu ini sebelum rehat antarabangsa.
Le Normand dijangka berusaha untuk kembali cergas menjelang pertemuan Atletico menentang Inter Milan dalam Liga Juara-Juara pada 26 November, sementara perlawanan penting menentang juara bertahan, Barcelona dijadual berlangsung pada 2 Disember. -AFP