PARIS, 5 November – Paris Saint-Germain (PSG) berdepan tamparan hebat apabila tiga tonggak utama, Ousmane Dembele, Achraf Hakimi dan Nuno Mendes, disahkan berehat selama beberapa minggu akibat kecederaan yang dialami ketika aksi Liga Juara menentang Bayern Munich pada Selasa.
Pemenang Ballon d’Or, Dembele, dikeluarkan selepas 25 minit permainan sebelum pemain pertahanan Maghribi, Hakimi, terpaksa dibantu keluar padang dalam keadaan menangis selepas dilanggar oleh Luis Diaz, insiden yang menyebabkan penyerang Bayern itu menerima kad merah.
Dalam kenyataan pada Rabu PSG memaklumkan, Dembele mengalami kecederaan betis dan memerlukan beberapa minggu rawatan.
Pemain kebangsaan Perancis itu baru sahaja membuat penampilan kedua selepas pulih daripada kecederaan hamstring yang dialaminya ketika mewakili negara pada awal September.
Sementara itu, Hakimi disahkan mengalami terseliuh pada pergelangan kaki kiri dan dijangka berehat untuk tempoh yang panjang.
Hakimi turut berharap kembali cergas menjelang saingan Piala Negara-Negara Afrika yang akan bermula pada 21 Disember ini di Maghribi.
Nuno Mendes pula bermain sepenuh masa dalam kekalahan 2-1 kepada Bayern, namun turut mengalami kecederaan pada lutut kiri dan akan menyertai senarai pemain yang berehat panjang bersama Dembele dan Hakimi.
Ketiadaan tiga pemain berkenaan menambah kesukaran buat PSG yang turut kehilangan Desire Doue, selepas pemain muda itu mengalami kecederaan paha dalam perlawanan Ligue 1 menentang Lorient minggu lalu.-AFP