KOTA BHARU, 5 November - Dikenali sebagai ayam terkecil di dunia, ayam serama bukan sekadar haiwan hiasan tetapi turut menjadi simbol keindahan dan kebanggaan kepada para pemiliknya kerana nilai estetikanya yang tersendiri.
Meskipun bersaiz kecil, harga ayam serama boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit bergantung kepada baka dan keunikan fizikalnya.
Naib Pengerusi Persatuan Ayam Serama Negeri Kelantan (PERSEK), Mohd Nasri Mohd Asri, berkata keistimewaan ayam serama terletak pada saiz tubuhnya yang seimbang serta gayanya yang anggun dan tegap. Menjadikannya berbeza daripada baka ayam lain.
“Uniknya ayam serama ini ialah pada nilai estetikanya. Ia mempunyai tubuh yang tegak, kepala hampir menyentuh ekor, cara berjalan serta kedudukan tubuh yang berlagak.
"Itulah kelebihan yang tiada pada baka ayam lain,” katanya demikian ketika ditemui selepas Pertandingan Ayam Serama Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam, di sini.
Mohd Nasri turut menjelaskan bahawa pertandingan ayam serama sering disalah anggap sebagai pertandingan sabung ayam, sedangkan penilaian sebenar dibuat berdasarkan kecantikan, gaya pergerakan dan nilai seni yang dimiliki oleh setiap ayam.
Sebanyak 367 ekor ayam serama didaftarkan dalam pertandingan tersebut yang turut menarik penyertaan dari luar negara termasuk Thailand, Vietnam dan Brunei.
Menurutnya, penganjuran acara tersebut bukan sahaja meraikan keindahan ayam serama, malah mampu menjadi tarikan pelancongan dan memupuk minat baharu terhadap warisan unik negeri Kelantan.
Pertandingan anjuran PERSEK itu kini menjadi antara acara tahunan terbesar yang menghimpunkan peminat ayam serama dari seluruh negara serta rantau Asia Tenggara.