KUMAMOTO, 15 November- Pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah bermula dengan langkah kanan selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Masters Jepun,semalam.
Bagaimanapun, pasangan itu dipaksa bekerja keras sebelum menang ke atas beregu Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 21-14, 20-22, 21-18 pada aksi pusingan pertama.
Pasangan ranking ke-13 dunia itu akan bertemu pasangan Jepun, Rui Hirokami-Yuna Kato pada pusingan kedua.
Dalam lagi satu aksi beregu wanita negara,Vivian Hoo-Lim Chiew Sien terpaksa pulang awal selepas tunduk kepada pasangan Jepun Rina Miyaura-Ayako Sakuramoto 17-21, 11-21.
Sementara itu, beregu profesional lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan rakan senegara,Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-16, 21-7.
Pasangan ranking ke 12 dunia itu bakal bertemu pemenang perlawanan antara Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa Nga dari Thailand dengan beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi bagi perebutan tiket ke suku akhir.
Dalam aksi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao gagal melepasi kejohanan kelayakan selepas tewas kepada Takuma Obayashi dari Jepun 23-21, 21-16 pada pusingan kedua.