fb fb fb fb fb

Liga Juara Eropah: Liverpool ranapkan rekod tanpa kalah Real Madrid

FOTO REUTERS

LIVERPOOL, 5 November - Jaringan tunggal Alexis Mac Allister pada babak kedua memastikan Liverpool meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Real Madrid dalam pertembungan kedua-dua gergasi Eropah pada Selasa.

Kekalahan berkenaan sekali gus menghadiahkan pendahulu LaLiga itu kekalahan pertama mereka dalam saingan Liga Juara musim ini.

Skuad kendalian Arne Slot itu kini naik ke tangga keenam kumpulan dengan sembilan mata selepas empat perlawanan. Satu anak tangga di bawah Real Madrid. Kedua-dua pasukan berkongsi jumlah mata sama, namun dibezakan menerusi perbezaan jaringan.

Bermain di laman sendiri, Liverpool bermula garang apabila kerap menguji pintu gol Real Madrid yang dikawal Thibaut Courtois sebelum Mac Allister akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-61.

Dominik Szoboszlai, yang cemerlang sepanjang perlawanan, melakukan sepakan percuma cantik yang disudahkan Mac Allister dengan tandukan padu untuk menggamatkan Anfield.

Liverpool hampir dihadiahkan penalti pada babak pertama apabila bola sepakan Szoboszlai terkena tangan pemain pertahanan Real Madrid, Aurelien Tchouameni.

Namun pengadil membatalkan keputusan itu selepas semakan VAR mendapati tiada kesalahan dilakukan.

“Saya rasa ia perlawanan yang baik menentang pasukan yang sangat kuat,” kata Mac Allister.

“(Courtois) penjaga gol yang hebat. Semua orang tahu. Dia melakukan beberapa aksi cemerlang. Tetapi hari ini kami lebih baik dan layak menang", ujarnya.

Szoboszlai mencipta beberapa peluang berbahaya sepanjang permainan. Courtois menafikan peluang mudah hasil hantaran silang Florian Wirtz pada separuh masa pertama, dan sekali lagi menggagalkan dua percubaan pemain Hungary itu sebelum rehat.

Peluang terbaik Real Madrid hadir sebelum tamat separuh masa pertama menerusi rembatan Jude Bellingham dari sudut sukar yang berjaya diselamatkan penjaga gol Liverpool, Giorgi Mamardashvili.

Kylian Mbappé pula mensia-siakan peluang terbaik Real pada babak kedua apabila rembatan leretnya tersasar

Liverpool hampir menggandakan jaringan pada penghujung perlawanan, namun tindakan penyudah Cody Gakpo di depan gawang berjaya digagalkan oleh Courtois sebelum rembatan susulan Salah pula dihalang pertahanan Real Madrid.

“Kami beraksi dengan tenaga dan disiplin tinggi,” kata kapten Liverpool, Virgil van Dijk.

“(Real) telah menang 14 daripada 15 perlawanan terakhir. Mereka penuh kualiti. Kami tahu kekuatan mereka, jadi kami perlu tepat dalam setiap tindakan.

"Saya rasa kami berjaya laksanakan pelan permainan dengan sempurna.”

“Mudah untuk bercakap sekarang selepas dua kemenangan berturut-turut – dalam dunia yang penuh tekanan, kita perlu kekal tenang dan lihat perkara dengan perspektif", ujarnya. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD