LONDON, 5 November – Bekas kapten bola sepak England, David Beckham, menerima anugerah darjah kebesaran ‘knighthood’ daripada Raja Charles III di Istana Windsor pada Selasa.
Bekas kapten skuad kebangsaan berusia 50 tahun itu menyifatkan penganugerahan itu detik paling membanggakan dalam hidupnya.
Beckham yang pernah mewakili England sebanyak 115 kali serta bermain untuk kelab gergasi dunia termasuk Manchester United dan Real Madrid, dikurniakan gelaran itu atas jasanya dalam bidang sukan dan kerja amal.
“Ini adalah saat yang luar biasa untuk seorang budak dari timur London berada di Istana Windsor, menerima penghormatan daripada Raja – institusi paling dihormati di dunia.
“Tanpa ragu, ini adalah detik paling membanggakan dalam hidup saya,” katanya kepada agensi berita PA.
Beckham hadir berpakaian sut kelabu rekaan isterinya, Victoria Beckham, bekas ahli kumpulan Spice Girls yang kini bergelar pereka fesyen terkemuka.
Turut menemani beliau ialah Victoria, ibu bapanya Ted dan Sandra Beckham.
Beliau berkata Raja Charles turut memuji gaya pakaiannya semasa majlis itu.
“Baginda seorang lelaki yang sangat berpenampilan kemas, malah mengilhamkan banyak gaya saya selama ini. Saya lihat gambar baginda ketika muda mengenakan sut rasmi dan berkata kepada isteri saya — itu gaya yang saya mahu,” katanya berseloroh.
Beckham turut berkongsi rasa bangga kerana beliau merupakan penyokong kuat institusi monarki British.
“Saya bertuah kerana menang banyak kejuaraan dan mencapai pelbagai kejayaan, tetapi menerima anugerah kesatria ini sesuatu yang di luar jangkaan saya,” katanya.
Anugerah ini menandakan kemuncak perjalanan panjang Beckham yang berjaya mengangkat dirinya daripada ikon sukan kepada figura global dalam dunia fesyen, perniagaan dan kebajikan.
Beliau pernah hampir menerima gelaran tersebut selepas membantu London memenangi bidaan Sukan Olimpik 2012, namun proses itu tertangguh berikutan siasatan terhadap dakwaan mengelak membayar cukai.
David kini secara rasmi bergelar “Sir David Beckham”, manakala isterinya “Lady Victoria Beckham”.
Pasangan itu sekali lagi mencipta sejarah sebagai antara nama paling berpengaruh dalam budaya dan sukan Britain. - AFP