LONDON, 5 November - Bintang Portugal dan Al Nassr, Cristiano Ronaldo mendedahkan beliau merancang untuk menamatkan karier bola sepaknya tidak lama lagi.
Ini sekali gus memberi bayangan kepada penghujung perjalanan cemerlangnya dalam arena bola sepak dunia.
Pemain berusia 40 tahun itu berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama Piers Morgan Uncensored, ketika membincangkan tentang persaraan serta kehidupannya selepas bola sepak.
“Tidak lama lagi. Tapi saya rasa saya sudah bersedia,” kata Ronaldo apabila ditanya bila beliau akan menggantung but.
“Sudah tentu ia sukar. Mungkin saya akan menangis, ya. Saya seorang yang terbuka. Ini akan menjadi sesuatu yang sangat sukar, tapi saya sudah bersedia menghadapi saat itu," katanya ketika dalam satu temu bual eksklusif bersama Piers Morgan.
Ronaldo, yang telah menjaringkan 952 gol sepanjang karier, berkata beliau sudah membuat persiapan untuk menghadapi fasa selepas bola sepak sejak usia 25 tahun lagi.
“Tiada apa yang dapat menandingi adrenalin menjaringkan gol, tapi setiap permulaan pasti ada pengakhirannya. Saya mahu lebih banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga, membesarkan anak-anak saya,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi keinginannya untuk mengikuti perkembangan anak sulungnya, Cristiano Jr, selain menikmati aktiviti seperti bermain padel bersama rakan rapat.
Sepanjang kariernya, Ronaldo pernah beraksi bersama Sporting Lisbon, Manchester United, Real Madrid dan Juventus, memenangi pelbagai kejuaraan termasuk tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan lima Ballon d’Or.
Selepas meninggalkan Manchester United pada 2022, Ronaldo menyertai kelab Arab Saudi, Al Nassr, hingga 2027.
Mengulas mengenai bekas kelabnya itu, Ronaldo menzahirkan rasa sayang terhadap Manchester United namun menegaskan perubahan besar diperlukan.
“Manchester United masih di hati saya. Saya sayang kelab itu, tapi kita perlu jujur – mereka tidak berada di landasan yang baik sekarang. Ia bukan semata-mata tentang jurulatih atau pemain, tapi keseluruhan struktur perlu berubah,” katanya.
Beliau turut menasihati penyokong United agar tidak mengharapkan keajaiban daripada pengurus baharu, Ruben Amorim, yang juga bekas rakan sepasukannya di Portugal.
“Dia melakukan yang terbaik. Tapi keajaiban? Itu mustahil,” katanya sambil menutup temu bual penuh emosi itu dengan senyuman. - AFP