fb fb fb fb fb

Emma Firyana mulakan kempen Piala Dunia Boling Padang 2025 dengan langkah kanan

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 4 November - Pemain boling padang negara, Emma Firyana Saroji, memulakan kempen Piala Dunia Boling Padang 2025 dengan langkah meyakinkan apabila mencatat dua kemenangan daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan yang berlangsung di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, hari ini.

Atlet berpengalaman berusia 39 tahun itu menundukkan wakil New Zealand, Katelyn Inch 2-1, sebelum tewas tipis 1-2 kepada pemain England, Katherine Rednall, dalam aksi sengit sebelah pagi.

Bagaimanapun, Emma bangkit menutup hari pertama dengan kemenangan bergaya 2-0 ke atas pemain Scotland, Caroline Brown.

“Alhamdulillah, untuk perlawanan pertama dalam dewan di rink 3 menentang pemain Scotland, saya bersyukur kerana dapat mengawal permainan dengan baik. Dia bukan lawan yang calang-calang, tetapi strategi saya mudah, pastikan bola pertama dekat dengan jack. Satu bola pun sudah cukup kalau tepat, sebab dari situ kita boleh kawal permainan,” katanya.

“Dalam set kedua, saya nampak sedikit tuah memihak kepada lawan apabila beberapa balingan saya terkena bola beliau. Namun, dari situ saya bangkit semula dan berjaya menamatkan perlawanan dengan kemenangan straight set,” katanya.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dalam Dewan Dunia itu bertekad untuk mengekalkan momentum bagi memastikan tempat ke suku akhir.

Beliau dijadual menentang wakil Afrika Selatan, Anneke Scheepers, dan Ireland, Lara Reaney, dalam dua aksi terakhir kumpulan esok.

Emma turut dijangka menjadi sandaran utama negara dalam acara beregu wanita apabila bergandingan dengan Nurul Alyani Jamil selepas tamat saingan perseorangan.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari itu mempertandingkan tujuh kategori termasuk perseorangan dan beregu lelaki serta wanita, selain acara perseorangan para lelaki, wanita dan campuran.

AZRUL FAIZAL JUSOH