fb fb fb fb fb

KBS sokong penubuhan jawatankuasa siasatan khas bebas isu FAM–FIFA

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 4 November – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan sokongan penuh terhadap penubuhan Jawatankuasa Siasatan Khas Bebas yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, bagi menyiasat isu melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan keputusan terkini Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam satu kenyataan Menterinya, Hannah Yeoh menyatakan KBS melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan bekerjasama rapat dengan jawatankuasa berkenaan bagi memastikan hasil siasatan menjadi asas kepada langkah pembetulan dan penambahbaikan dalam pentadbiran FAM.

Katanya, kerajaan perlu berhati-hati kerana sebarang bentuk campur tangan secara langsung boleh menyebabkan FAM digantung oleh FIFA yang bukan sahaja menjejaskan skuad kebangsaan utama, tetapi turut memberi kesan kepada semua pasukan bawah umur, liga profesional dan kelab tempatan di bawah naungan Malaysian Football League (MFL) serta Amateur Football League (AFL).

Menurut KBS, FIFA menegaskan melalui Statut 15(c) bahawa setiap persatuan bola sepak negara mesti bebas daripada campur tangan politik atau kerajaan. Beberapa negara sebelum ini pernah digantung akibat pelanggaran prinsip tersebut termasuk Indonesia (2015), Zimbabwe (2022), Chad (2021), Benin (2015) dan Brunei (2009).

Sehubungan itu, KBS menegaskan akan terus mengimbangi keperluan mematuhi peraturan antarabangsa dengan tuntutan akauntabiliti dalam negara memastikan FAM memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti dan kredibiliti bola sepak Malaysia.

AZRUL FAIZAL JUSOH