PUTRAJAYA, 4 November – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat isu kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan pematuhan prosedur kewarganegaraan melibatkan tujuh pemain naturalisasi Malaysia yang dikaitkan dengan siasatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam satu kenyataan EAIC menyatakan pasukan itu dibentuk selaras dengan subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700), dan akan diketuai Timbalan Pengerusi EAIC, Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham, bersama tiga ahli Suruhanjaya lain iaitu Datuk Siti Zainab Omar, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail dan Datuk Ong Lam Kiat.
EAIC juga memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 11/2025 hari ini bagi memastikan siasatan menyeluruh terhadap aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain berkenaan.
Suruhanjaya itu turut memohon kerjasama penuh semua agensi dan pihak berkaitan sepanjang proses siasatan dijalankan memandangkan isu ini melibatkan kepentingan awam serta integriti negara di peringkat antarabangsa.