fb fb fb fb fb

ISTAF hargai sokongan PM angkat martabat sepak takraw

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 4 November - Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan berterusan bagi mengangkat martabat sukan itu sebagai simbol warisan budaya dan jati diri Malaysia.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata, sokongan Datuk Seri Anwar menerusi agenda Malaysia MADANI sekali gus menyuntik keyakinan dan inspirasi kepada seluruh komuniti sukan itu bahawa sepak takraw bukan sekadar warisan masa lepas, malah bertindak sebagai saluran diplomasi antarabangsa.

Menurut beliau, Perdana Menteri memahami bahawa warisan budaya mesti hidup dalam sistem moden berteraskan ilmu, sains sukan, tadbir urus bertanggungjawab serta visi global yang turut membuka lembaran baharu dalam memperkukuh kedudukan sepak takraw sebagai sukan warisan paling berpengaruh di Asia.

“ISTAF turut mengharapkan sokongan penuh daripada Kerajaan MADANI untuk membawa sepak takraw disenaraikan sebagai acara rasmi di temasya Sukan Olimpik pada masa hadapan.

“ISTAF yakin dengan kepimpinan dan sokongan moral Perdana Menteri, impian menjadikan Malaysia sebagai peneraju global dalam memartabatkan sukan warisan dunia itu bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dalam kenyataan hari ini.

Abdul Halim turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh atas komitmen profesional dan kepimpinan dinamik beliau dalam memperkukuh pembangunan sukan itu melalui penubuhan Akademi Sepaktakraw Malaysia (ASM) yang bakal menjadi pusat kecemerlangan bertaraf dunia.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH