SEPANG, 19 November - Pertubuhan Seni Gayong Naga Sakti Malaysia sekali lagi mengharumkan nama Malaysia selepas muncul juara keseluruhan Kejohanan Pencak Silat Kelab Antarabangsa 2025 berlangsung di Australia baru-baru ini.
Ketua Pasukan Naga Sakti Malaysia, Rizal Husin berkata, dengan hanya membariskan sembilan atlet untuk menggalas cabaran negara, mereka berjaya membawa pulang 17 pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsasekali gus dinobatkan sebagai pasukan terbaik kejohanan yang menghimpunkan 24 pasukan dari lima negara.
Meskipun hanya disertai kontinjen yang kecil, namun persiapan rapi sepanjang tahun memberikan hasil yang sangat baik.
"Alhamdulillah, seperti tahun lepas kita hantar 30 orang ke Perth tetapi tahun ini dengan jumlah kecil sebanyak sembilan orang, kita berjaya menjadi juara keseluruhan. Kami memastikan selama setahun yang lepas kita telah groom atlet-atlet muda baru bermula 11 hingga 20 tahun untuk menghadapi kejohanan-kejohanan siri terbuka.
"Taktikal kita berjaya. Maknanya mereka boleh sertai satu atau dua acara dan boleh perform serta mendapatkan kedudukan podium," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Atlet yang dihantar telah digilap sejak usia muda melalui program pembangunan yang memberi tumpuan kepada kemahiran menyeluruh serta keupayaan bertanding dalam lebih daripada satu acara.
Tahun ini menyaksikan kejohanan lebih kompetitif apabila banyak negara membawa barisan atlet muda dengan Australia sedang melobi sukan pencak silat untuk dipertandingkan di Sukan Komanwel Glasgow 2026 serta Sukan Olimpik Brisbane 2032.
Pihaknya juga berharap pendedahan antarabangsa itu akan menjadi batu loncatan kepada atlet muda untuk diserap ke peringkat lebih tinggi, termasuk skuad remaja kebangsaan, persiapan menuju Sukan Malaysia (SUKMA) serta platform terbaik kepada skuad pelapis negara untuk mewakili negara pada masa hadapan.
Sementara itu, Atlet Naga Sakti Malaysia, Rajwa Az Zahraa Rizal berkata, ia merupakan penyertan kali kedua dan kali ini dia berjaya meraih lima pingat emas dalam lima acara yang disertainya.
Walaupun berdepan beberapa cabaran termasuk kesuntukan masa untuk menjalani latihan selain penat untuk mengharungi semua acara tetapi ia tidak menghalangnya untuk terus mencipta kejayaan.
"Cabaran... sebab penat lepas satu acara nak ke satu acara lagi memang penat sangat. Lepas tu saingan pun lebih ramai berbanding tahun lepas, lebih tercabar berbanding tahun sebelumnya.
"Saya akan bersedia dan menjadi lebih baik daripada sebelum-sebelum ini terutamabagi kejohanan di Australia pada tahun akan datang," katanya.