fb fb fb fb fb

SUKMA 2026: Selangor perkasa penglibatan sukarelawan

Foto arkib/BERNAMA

SHAH ALAM, 19 November – Selangor giat memperkukuh persiapan sebagai tuan rumah Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, dengan menekankan penglibatan besar-besaran sukarelawan bagi memastikan kelancaran penganjuran sukan dwitahunan itu.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Najwan Halimi berkata hampir 1,000 sukarelawan telah mendaftar setakat ini bagi menyertai SUKMA 2026.

Menurutnya, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan sukarelawan terdiri daripada wanita, sejajar usaha memastikan penyertaan lebih seimbang dan berkualiti.

1911 SKN SGR NAJWAN SUKMA 2Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi (kanan)/Foto arkib/BERNAMA

“Peranan wanita juga akan diperkasakan melalui pelantikan ke jawatan utama seperti Pengurus Pertandingan, Ketua Delegat Teknikal, Timbalan Ketua Delegat Teknikal serta Pegawai Teknikal Kanan dalam penganjuran Temasya Selangor 2026.

“Saranan ini turut mengambil kira ketetapan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan yang bersetuju bahawa sekurang-kurangnya 20 peratus pegawai teknikal dan 30 peratus sukarelawan yang dilantik adalah wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adun Bukit Lanjan, Pua Pei Ling, pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini.

Menurut Najwan, penyertaan kini dibuka kepada anak muda Selangor termasuk pelajar sekolah menengah, pelajar IPT dan orang awam yang berminat menjadi sebahagian daripada pasukan sokongan utama temasya tersebut.

Pendaftaran awal sukarelawan turut digerakkan melalui siri program promosi dan kempen pra-SUKMA di seluruh negeri, termasuk hebahan di platform media sosial rasmi Selangor 2026.

Selangor menyasarkan penyertaan 3,000 sukarelawan bagi menjayakan SUKMA 2026.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN