KINGSTON, 19 November - Jurulatih Jamaica, Steve McClaren, meletakkan jawatan pada Selasa selepas skuad Reggae Boyz gagal meraih kelayakan automatik ke Piala Dunia 2026.
McClaren, yang mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Jamaica pada Julai tahun lalu, mengumumkan keputusannya sejurus pasukannya diikat seri 0-0 skuad Curacao dalam aksi kelayakan terakhir mereka.
Jamaica perlu menang di Stadium Nasional Kingston untuk layak ke Piala Dunia, namun terpaksa akur apabila Curaçao berjaya bertahan untuk mara ke kejohanan itu.
Ia merupakan satu lagi episod kegagalan kelayakan yang pahit buat McClaren, yang sebelum ini turut gagal membawa skuad England yang dibarisi bintang ke Kejohanan Eropah 2008.
"Saya telah memberikan segala-galanya kepada tugas ini. Menerajui pasukan ini merupakan antara penghormatan terbesar dalam karier saya. Namun bola sepak adalah sukan berasaskan keputusan, dan malam ini kami gagal mencapai matlamat untuk melepasi peringkat kumpulan.
"Sebagai ketua, adalah tanggungjawab saya untuk tampil ke hadapan, mengambil akauntabiliti dan membuat keputusan demi kepentingan pasukan untuk bergerak ke hadapan.
"Selepas refleksi mendalam dan penilaian jujur terhadap kedudukan kami serta hala tuju yang perlu diambil, saya memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih," menurut McClaren dalam satu kenyataan.
Peletakan jawatan jurulatih berusia 64 tahun itu meninggalkan Jamaica dalam keadaan terdesak untuk mencari pengganti menjelang playoff antara konfederasi tahun depan, yang turut membabitkan Iraq, Republik Demokratik Congo, New Caledonia, Bolivia dan Suriname.- AFP