TOKYO, 19 November - Impian atlet lompat kijang pekak negara Zaiman Megat Abu untuk menghadiakan pingat pertama tidak kesampaian apabila sekadar menamatkan saingan di tempat kelima pada aksi final acara lompat kijang pada Deaflympics 2025 yang berlangsung di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa.
Zaiman tampil sebagai antara prospek pingat gagal mengulangi prestasi terbaiknya selepas hanya merekodkan lompatan 14.17 meter, jauh daripada catatan peribadi 14.82 meter yang dilakukannya pada temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) di Sarawak baru-baru ini.
Menurut Zaiman prestasi merosot itu berpunca dari kecederaan tumit di kaki kanan yang dialami sejak dua minggu lalu selain faktor cuaca sejuk yang memberi kesan ketara terhadap presstasinya.
"Saya memang kecewa dengan keputusan hari ini. Kecederaan pada bahagian bawah kaki makin terasa dan saya buat banyak kesilapan. Dapat tempat kelima memang sangat rugi," katanya.
Saingan itu menyaksikan atlet Amerika Syarikat, Jarvis Jermaine Anderson menduduki tempat pertama dengan catatan 15.28 meter manakala pingat perak dan gangsa pula dirangkul dua atlet nuetral Aliaksandr Maistrenka (14.75m) dan Raman Hralko (14.71m).
Sementara itu Penolong Ketua Jurulatih Olahraga pekak negara Sanusi Zainal Abidin, berkata faktor mentaliti turut mengekang prestasi anak buahnya itu.
"Dia nampak gementar berdepan atlet-atlet antarabangsa yang berbadan besar. Banyak kesilapan bermula dari lompatan kedua. Ini perkara yang perlu segera ditangani, termasuk pendedahan lebih banyak di kejohanan luar negara," katanya.
Bagaimanapun Sanusi berkata, Zaiman masih mempunyai ruang untuk bangkit kerana akan kembali turun beraksi dalam acara lompat jauh pada Jumaat ini bersama Hazrul Shah Hamri dan satu-satunya wakil wanita negara, Nur Andrina Zainudin.