fb fb fb fb fb

Zii Jia mahu berehat seketika

JAKARTA, 15 Jun - Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia mengambil keputusan untuk berehat sementara waktu daripada menyertai kejohanan badminton bagi mendapatkan semula motivasi, susulan prestasi merudum dipamerkannya sejak akhir-akhir ini.

Zii Jia yang tewas seawal pusingan pertama Kejohanan Terbuka Indonesia 2023 semalam, bagaimanapun tidak mendedahkan berapa lama tempoh rehat yang akan diambil oleh beliau.

"Sudah tentu amat kecewa. Saya akan berehat sementara waktu untuk mendapatkan semula motivasi," katanya kepada pemberita.

Pemain kelahiran Kedah itu ditemui pemberita selepas perlawanan pusingan pertama menyaksikan beliau tewas kepada pemain India, Lakshya Sen 21-17, 21-13 dalam tempoh 33 minit di Stadium Istora Senayan, di sini hari ini.

Minggu lepas Zii Jia turut terkandas di pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2023 di Stadium Tertutup Singapura, ditewaskan pemain di ranking lebih rendah, Weng Hong Yang dari China 20-22, 21-16, 19-21. 

Sementara itu, nasib sama menimpa beregu campuran negara Chan Peng Soon-Cheah Yee See apabila dibenam beregu tuan rumah Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 16-21, 9-21.

Namun, satu lagi beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berjaya layak ke pusingan 16 terakhir setelah menumpaskan beregu England, Gregory Mairs-Jenny Moore 21-14, 21-13.

Dalam aksi beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menewaskan gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-16, 21-12.

Bagaimanapun Man Wei Chong-Kai Wun Tee terpaksa tunduk kepada gandingan Jepun, Keiichiro Matsui- Yoshinori Takeuchi selepas perlawanan sengit selama sejam enam minit.

Wei Chong-Wun Tee yang bermula baik di awal permainan akhirnya tewas dalam dua set seterusnya dengan 21-19, 15-21, 19-21. - BERNAMA

 


(Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia/FOTO BERNAMA)

Media Baharu