ISKANDAR PUTERI, 6 November -.Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mempamerkan taringnya dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas menundukkan Shanghai Shenhua FC 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kemenangan bergaya itu melonjakkan Harimau Selatan ke tangga kedua Kumpulan A dengan tujuh mata selepas empat perlawanan, sekali gus menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati.
JDT menguasai babak pertama dengan serangan bertali arus, termasuk dua percubaan Oscar Arribas yang mengenai tiang dan palang pada minit ke-4 dan ke-35, manakala jaringan Jairo Da Silva dibatalkan kerana offsaid.
Babak kedua menyaksikan kebangkitan JDT apabila Jonathan Silva membuka tirai jaringan hasil hantaran Ariff Aiman pada minit ke-47, sebelum Arribas menambah gol kedua 16 minit kemudian.
Saulo Mineiro mengurangkan jurang menerusi sepakan penalti pada minit ke-71, namun JDT menutup malam gemilang mereka menerusi kombinasi sama, Ariff Aiman dan Jonathan Silva pada minit ke-87.
Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz, menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti peningkatan mentaliti dan disiplin pasukan.
“Kemenangan besar malam ini sangat bermakna hasil kerja keras setiap hari. Saya gembira melihat pemain tampil lebih tajam dan beraksi cemerlang sepanjang perlawanan,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Shanghai Shenhua, Leonid Slutskiy, mengakui pasukannya gagal mengekang permainan pantas JDT.
“Kami terlalu memberi ruang kepada pemain lawan dan gagal memanfaatkan peluang sendiri. Ia pengajaran penting untuk bangkit lebih kuat,” ujarnya.