KOBE, 6 November - Kelab Jepun, Vissel Kobe mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Ulsan HD pada Rabu, sekali gus kembali mendahului carta saingan Kumpulan Timur dalam Liga Juara Asia Elit (ACLE).
Jean Patric menjaringkan gol tunggal perlawanan bagi memastikan skuad kendalian Takayuki Yoshida meraih kemenangan ketiga dalam empat perlawanan.
Pada perlawanan yang dilangsungkan di laman sendiri, Kobe mendominasi permainan dengan Yuya Osako hampir membuka jaringan apabila sepakan lencongnya terkena palang pada minit ke-35.
Namun,kelab Jepun itu hanya berjaya mendahului pada minit ke-58 apabila Patric menyudahkan gerakan dengan rembatan kaki kiri yang melepasi jangkauan penjaga gol Moon Jung-in.
Kemenangan itu sekali gus menebus kekecewaan pasukan tersebut selepas tewas 3-4 kepada Gangwon FC pada aksi terdahulu.
Kemenangan itu meletakkan Kobe di tangga teratas dalam kalangan 12 pasukan apabila saingan liga memasuki separuh musim.
Lapan pasukan terbaik dari Asia Timur dan Asia Barat akan mara ke pusingan kalah mati pada Mac. Manakala suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir dijadual berlangsung di Arab Saudi pada April.