KUALA LUMPUR, 6 November - Keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan disifatkan sebagai tamparan besar terhadap pembangunan bola sepak negara.
Pemerhati sukan, Asan Ahmad berkata, keputusan itu memberi impak besar terhadap persiapan skuad kebangsaan menjelang siri perlawanan kelayakan penting akan datang.
"Tempoh penggantungan tersebut bukan sahaja menjejaskan kekuatan pasukan, tetapi juga boleh menggugat fokus dan moral pemain lain. Pengurusan perlu memastikan semangat pasukan kekal tinggi dan tidak terganggu oleh isu luar padang," katanya.
Tegas beliau, keputusan FIFA itu harus dijadikan pengajaran agar badan induk bola sepak itu menilai semula hala tuju pembangunan bola sepak negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap pemain naturalisasi atau warisan.
"Program pemain warisan sepatutnya dilihat sebagai langkah jangka pendek untuk meningkatkan daya saing, bukan strategi utama pembangunan.
"Kebergantungan secara berlebihan boleh menjejaskan peluang pemain tempatan serta memperlahankan kemajuan bola sepak akar umbi," katanya.
Tambah beliau lagi, FAM perlu memperkukuh pelan pembangunan sedia ada seperti Pelan Hala Tuju F:30 dan Rangka Kerja DNA Bola Sepak Malaysia bagi memastikan pasukan masa depan dibina berasaskan pemain tempatan berkualiti.
"Aspek tadbir urus dan ketelusan juga perlu diperbaiki bagi memulihkan kredibiliti serta integriti bola sepak negara selepas isu pemalsuan dokumen ini," katanya.
Pada Isnin, FIFA Pada Isnin, FIFA mengumumkan keputusan rayuan FAM dan tujuh pemain import ditolak, sekali gus mengekalkan hukuman sedia ada.
FAM dikenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta), manakala tujuh pemain warisan Harimau Malaya – Imanol Machuca, Facundo Garcés, Héctor Hevel, Gabriel Palmero, João Figueiredo dan Jon Irazabal – digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak antarabangsa.