fb fb fb fb fb

Zii Jia dan dua beregu negara mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia 2022

(Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia/AFP)

KUALA LUMPUR, 30 April - Pemain perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia akan menentang Weng Hong Yang dari China dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 di Manila, Filipina pada hari ini.

Semalam, Zii Jia menewaskan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama, 21-13, 21-11.

Manakala Hong Yang melakukan kejutan dengan menewaskan pemain pilihan kedua kejohanan, Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia, 21-13,16-21 dan 21-11.

Sementara itu beregu negara yang juga juara beregu lelaki Terbuka Jerman, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meneruskan prestasi cemerlang mereka dengan menewaskan Ren Xiang Yu-Tan Qiang dari China, 21-19, 21-14.


(Pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani/Foto fail)

Hari ini mereka akan menentang satu lagi beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam saingan separuh akhir.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo itu mara setelah menewaskan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty,12-21, 21-14, 21-16.

Pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun bagaimanapun terkandas di suku akhir apabila tewas kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto,16-21,16-21.

Turut terkandas beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Media Baharu