KUALA LUMPUR, 17 Jun- Cabaran Malaysia di Kejohanan Terbuka Indonesia masih berjaya diteruskan apabila beregu lelaki nombor 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia mara ke separuh akhir petang tadi.
Aaron-Wooi Yik mara dengan menewaskan pasangan tuan rumah, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Rambitan 14-21, 21-12 dan 22-20 manakala Zii Jia pula menang ke atas pemain dari Singapura, Loh Kean Yew 21-18, 16-21 dan 22-20.
Pada aksi suku akhir itu, Aaron-Wooi Yik dilihat gagal bermula baik apabila tewas dengan permainan pantas pasangan muda Indonesia dengan 14-21.
Namun, mereka berjaya menemui rentak di set kedua apabila menang 21-12, sekali gus mengheret pertemuan ke set penentuan.
Di set penentuan, Aaron-Wooi Yik sekali lagi gagal mengekang kebangkitan lawan mereka apabila ketinggalan 20-18.
Bagaimanapun, kecederaan yang dialami seorang pemain Indonesia berjaya membuka peluang buat Aaron-Wooi Yik untuk mengikat kedudukan sebelum menang 22-20.
(Gandingan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia)
Sementara itu, Zii Jia pula dipaksa bekerja keras sebelum mengatasi Kean Yew dalam pertarungan tiga set.
Menang set pertama 21-18, pemain berusia 24 tahun itu tewas 16-21 di set kedua.
Bagaimanapun, Zii Jia berjaya mengembalikan rentak di set ketiga untuk menamatkan perlawanan dengan 22-20.
Terdahulu, perjalanan dua beregu campuran negara tersekat di suku akhir.
Beregu muda, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei tumpas 21-16, 21-17 kepada pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung manakala Chen Tang Jie-Valeree Siow pula tunduk 21-12 21-14 kepada pasangan China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.