MONTREAL, 17 Jun - Perlumbaan Formula One akan kembali semula ke Kanada buat kali pertama sejak 2019 hujung minggu ini dengan pasukan Red Bull sekali lagi dijangka mendominasi saingan.
Bagi Ferrari pula, ia menjadi medan terbaik untuk mereka bangkit daripada kekecewaan selepas bergelut dengan masalah jentera di Grand Prix Azerbaijan minggu lalu.
Setakat ini, tiada pasukan banyak memenangi GP Kanada seperti pasukan Ferrari dalam sejarah perlumbaan F1.
Namun, pasukan dari Itali itu gagal mengekalkan prestasi cemerlang pada awal musim ini selepas bergelut dengan pelbagai masalah.
(Seorang ahli krew Red Bull Racing membersihkan peralatan di pit di
Grand Prix F1 Kanada di Litar Gilles-Villeneuve di Montreal, Quebec/AFP)
Pemandunya, Charles Leclerc telah menyambar enam petak hadapan dalam 8 perlumbaan, namun terpaksa menamatkan dua daripada tiga aksi terakhir akibat masalah enjin jentera.
Situasi itu membuka ruang buat pemandu Red Bull, Max Verstappen merapatkan jurang kepada 34 mata dalam kejuaraan pemandu dunia.
Dalam ketegori pengeluar pula, Red Bull yang mencatat kejayaan satu dua di Azerbaijan minggu lepas, kini mendahului Ferrari dengan 80 mata.
Mereka diramal mampu melakar kemenangan keenam berturut-turut musim ini di GP Kanada.
Manakala juara dunia 7 kali, Lewis Hamilton dari Mercedes pula terus bergelut dengan prestasinya dan dilihat tidak memiliki peluang untuk mengulangi kejayaan di Montreal seperti pada musim 2019.