fb fb fb fb fb

MOM setuju senaraikan 12 atlet dalam senarai pertimbangan ke Birmingham

KUALA LUMPUR, 17 Jun- Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bersetuju untuk menyenaraikan 12 atlet yang sebelum ini diletakkan dalam senarai pertimbangan untuk turut membawa cabaran kontinjen negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

MOM dalam satu kenyataan, berkata 12 atlet berkenaan yang membabitkan 10 lelaki dan dua wanita itu adalah terdiri daripada golongan atlet muda dan pemenang pingat di Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan lalu.

“Dengan penambahan 12 orang atlet berkenaan, kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham akan mempunyai seramai 107 orang atlet (69 lelaki dan 38 wanita),” katanya kenyataan itu.

Skuad ragbi negara menjadi pasukan yang mempunyai atlet paling ramai dengan 13 orang disenaraikan diikuti terjun (12), badminton (10), boling padang (10), skuasy (10), sukan para (sembilan), ping pong (lapan), angkat berat (tujuh), olahraga (tujuh), berbasikal (enam), renang (empat), tinju (dua), triathlon (dua) dan judo (dua).

Walaupun jumlah kontinjen negara kali ini semakin mengecil namun Malaysia meletakkan sasaran untuk membawa pulang tujuh pingat emas, jumlah yang sama seperti diraih ketika edisi 2018 di Gold Coast.

Di Gold Coast 2018, Malaysia meraih tujuh emas menerusi sukan angkat berat, terjun, boling padang, gimnastik dan badminton. Lima perak turut berjaya diraih masing-masing menerusi sukan badminton, gimnastik dan angkat berat.

Kontinjen negara juga berjaya meraih 12 gangsa menerusi sukan angkat berat, skuasy, menembak, terjun, gimnastik, olahraga, ping pong dan badminton.

Terdahulu, MOM mengumumkan atlet sukan powerlifting, Bonnie Bunyau dan S Sivasangari (skuasy) dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara di Birmingham.

 


(Perry, maskot rasmi temasya Komanwel Birmingham 2022)

Media Baharu