TANJUNG MALIM, 17 Jun- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan beberapa insentif kecemerlangan baharu sempena Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ia bagi meningkatkan lagi semangat dan motivasi atlet yang bertanding dalam kejohanan yang bakal berlangsung pada 12 hingga 21 Ogos di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
"Pertamanya olahragawan dan olahragawati SUKIPT 2022 bakal menerima wang tunai berjumlah RM3,000 setiap seorang. Kedua, pasukan terbaik lelaki wanita SUKIPT masing-masing akan menerima wang tunai berjumlah RM7,000 dan ketiga pemain yang berjaya melakukan hole-to-hole bagi sukan golf juga ditawarkan wang tunai berjumlah RM1,000.
Saya juga umumkan di sini bahawa wang tunai berjumlah RM20,000 akan diberikan secara bersama kepada atlet-atlet yang berjaya memecah rekod kebangsaan di kejohanan ini," kata beliau berucap sempena majlis Pelancaran SUKIPT edisi ke-5 di UPSI, di sini.
(Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika melancarkan SUKIPT edisi ke-5 di UPSI, Tanjung Malim)
Penganjuran kejohanan yang tertangguh akibat COVID-19 itu bakal disertai lebih 6,000 atlet dan 70 kontinjen akan bersaing dalam 21 acara yang dipertandingkan dengan menawarkan 210 pingat emas.
Dalam pada itu, Datuk Seri Noraini turut memperkenalkan Hari Kerjaya Sukan bagi menghimpunkan pengamal industri sukan dengan peserta dan pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan kerjaya dalam bidang sukan.